Assalamu'alaikum Wrt. Wbt.
Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya keraguan atau kesesatan melainkan orang-orang yang mempelajarinya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.
Para pembaca yang budiman,
Dengan kehendak Allah SWT kita berpisah dan dengan izinnya pula kita bertemu lagi. Maafkan saya kerana sudah tidak menulis buat beberapa ketika. Cadangnya hendak menumpukan perhatian untuk menyelesaikan kerja-kerja berkaitan kepulangan dan kerjaya di tanahair. Bagaimanapun, akhirnya saya sedar bahawa secara semulajadinya semua kerja-kerja adalah subjektif dan bersifat berkala dan berterusan hanya pada masa-masa yang tertentu sahaja.
Ditambah pula dengan ketiadaan laptop yang biasanya sering di bawa bersama ke mana-mana tetapi tiada bersama buat sementara waktu kerana dihantar bersama-sama dengan barangan lain melalui jalan laut. Mungkin sekitar bulan lima atau enam nanti baru tiba ke tanahair, insya Allah. Semoga Allah mempermudahkan...
Sidang pembaca yang dikasihi,
Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith yang masyhur yang bermaksud: "Barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dan mencegahnya dengan menggunakan kuasanya, sekiranya ia tidak sesuai dengan kemampuannya, maka hendaklah ia menggunakan tangannya, sekiranya ia tidak sesuai dengan kemampuannya, maka hendaklah ia menggunakan hatinya. Sesungguhnya mengubah dan mencegah perbuatan mungkar dan pelakunya sekadar dengan menggunakan hati itu adalah tanda selemah-lemah iman."
Justeru, tidak mengubah dan mencegah adalah tanda kepada ketiadaan iman atau kekufuran.
Jika dilihat daripada hadith yang tersebut di atas, Nabi Muhammad SAW menggunakan pendekatan yang sangat berhemah menkategorikan seorang Muslim itu kepada tiga peringkat. Bagaimanapun, selalu sangat disalah tafsirkan kategori yang terakhir itu sebagai diam. Sedangkan diam itu bukan tanda beriman dan bukan pula tanda kekufuran. Dalam bahasa lain diam tidak boleh dijadikan ukuran salah atau betul, beriman atau kafirnya seseorang.
Semua bentuk pendakwaan atau tuduhan pada asasnya mestilah disaksikan, yakni dibuktikan melalui penyaksian, melihat, mendengar atau merasa. Ini sesuai dengan asas undang-undang bahawa beban pembuktian itu berada di atas bahu yang mendakwa atau yang membuat tuduhan dengan saksi-saksi dan penyaksian serta bukti yang sah sebelum ia berpindah kepada pihak yang dituduh.
Dalam satu hadith, Nabi Muhammad SAW dilaporkan berkata yang bermaksud: "(Beban pembuktian dengan) penyaksian (dan lain-lainnya) adalah di atas mereka yang mendakwa (yakni orang yang membuat tuduhan). (Hanya selepas ia dibuktikan maka dikehendaki memberikan) penjelasan (dan bukti-bukti sebagai jawapan) adalah di atas mereka yang menginkarinya (sama ada yang tertuduh atau selainnya)."
Dalam kes-kes berkaitan zina dan liwat yang menjadi isu semasa pada hari ini, perlulah diingat bahawa undang-undang Islam jelas menekankan bahawa beban pembuktian adalah di atas mereka yang membuat tuduhan dan dakwaan mengenainya yakni mereka mesti mendatangkan empat (4) orang saksi. Sekiranya mereka gagal mendatangkan dengan bilangan saksi tersebut, maka wajiblah mereka dikenakan hukuman qazaf sesuai dengan ketetapan Islam dalam undang-undang hudud.
Dalam hal ini tertuduh tidak perlu menjawab apatah lagi membuktikan apa-apa sehinggalah empat orang saksi dikemukakan oleh yang membuat dakwaan dan tuduhan. Adalah menjadi prinsip bahawa Islam mengiktiraf bahawa yang tertuduh adalah suci dan bersih daripada sebarang dakwaan dan tuduhan melainkan setelah dakwaan dan tuduhan itu telah berjaya dibuktikan tanpa ada keraguan yang munasabah. Bahkan ini juga adalah prinsip undang-undang lazim (common law) yang sedia terpakai di negara kita.
Tiada satu peruntukan baik dalam Islam mahupun undang-undang lazim yang memberikan satu dalil mahupun isyarat membolehkan orang yang tertuduh dianiayai atau dizalimi dengan sebarang bentuk prasangka atau layanan buruk hanya dengan sebab dia diam atau enggan memberikan kerjasama menjawab sebarang pertuduhan dan dakwaan sebelum penuduh atau pendakwa membuktikan kesnya terlebih dahulu. Bahkan mereka yang menyebarkan pertuduhan dan dakwaan sebegitu yakni tanpa ia dibuktikan, boleh dikenakan tindakan undang-undang baik tindakan secara tangkapan polis, injunksi mahupun tindakan defamasi sesuai dengan ketetapan undang-undang lazim.
Sidang pembaca yang disayangi,
Beban pembuktian yakni dengan penyaksian dan lain-lain bukti yang munasabah dan sah mestilah dibawa ke medan pengadilan yakni di Mahkamah dan bukannya dijaja di tepi-tepi jalan, di dada-dada akhbar, di media-media elektronik atau di internet. Tindakan melakukan perkara seperti ini sepatutnya dikenakan tindakan menghina mahkamah terutama semasa proses perbicaraan masih berjalan dalam hal keadaan tertuduh adalah dianggap suci dan bersih daripada setiap pertuduhan dan dakwaan sehingga ia dibuktikan.
Ini adalah kerana undang-undang menetapkan bahawa tertuduh wajib diberikan peluang membela diri walaupun semua saksi telah memberikan keterangan dan semua bukti lain juga telah dikemukakan dan kesemuanya telah diterima sebagai bukti yang tidak diragui relevan dan munasabah oleh Mahkamah. Ini adalah antara prinsip undang-undang yang dipanggil hak untuk didengar sebelum sebarang keputusan boleh dibuat oleh mana-mana hakim di mana-mana mahkamah sekalipun.
Pencabulan ketetapan-ketetapan dan hak-hak akan hanya menjadikan institusi undang-undang dan syariah di negara ini dipandang serong dan rosak baik daripada dalam mahupun luar negara. Ia akan menokok kepada kebimbangan para pelabur dan seterusnya menakutkan dan menghalang pelaburan-pelaburan baru untuk masuk ke dalam negara. Akibat yang lebih buruk, ekonomi negara akan terus merudum, jumlah pekerjaan akan berkurangan dan daya saing kewangan negara akan menjadi lebih lemah.
Siapakah pula yang sanggup dan berani melabur berjuta-juta apatah lagi berbilion-bilion ringgit sekiranya undang-undang di Malaysia boleh diperkotak-katikkan dan dipermain-mainkan dengan sebegitu rupa? Ingatlah, ini adalah hanya merupakan salah satu bentuk musibah dan akibat yang harus berlaku kepada kita sekiranya kita tidak mahu berpegang kepada prinsip keadilan Islam yang juga merupakan prinsip keadilan sejagat.
Para pembaca yang dirahmati Allah sekelian,
Dalam kita gusar dengan keadaan undang-undang dan syariah di negara kita, janganlah kita pula mengikut rentak mereka yang tidak menghormati undang-undang dan hak asasi manusia. Walaupun ada sebahagian kita yang pada pengetahuan dan perasaan kita hanya sekadar diam, tetapi kita tidaklah harus menuduh mereka sebagai tidak beriman, munafik, fasik apatah lagi kufur. Apatah lagi menuduh mereka bersubahat dan bersekongkol dengan pelaku kemungkaran dan mengibaratkan mereka seperti syaitan laknatullah. Na'uzubillahimin zalik!
Adalah berdosa kita sekiranya kita membuat tuduhan dan dakwaan sebegini atau membawa maksud yang sama tetapi kita tidak dapat membuktikan tuduhan dan dakwaan kita sama seperti mereka yang kita benci dan tentang seperti yang telah disebutkan di atas. Apatah lagi jika mereka berbuat sebegitu dalam keadaan jahil tetapi kita dalam keadaan berilmu. Lebih buruk lagi jika yang kita tuduh dan dakwa sebegitu adalah juga mereka daripada kalangan ahli ilmu dan amal juga.
Sedarilah, bahawa mungkin ada yang kita tidak tahu atau terlepas pandang atau terlupa, justeru, berhentilah membuat sebarang dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas apatah lagi yang tidak mampu kita berikan penyaksian dan pembuktian yang terang dan terus apatah lagi relevan dan munasabah di hadapan Allah SWT di hari akhirat nanti.
Ingatlah terkadang mereka yang diam itulah yang telah lebih selalu menggunakan kuasa mereka dengan berhemah secara terang dan terbuka, tertutup dan rahsia bagi membantu dalam perjuangan dan kejayaan Islam berbanding kita. Hatta kebanyakan tangan-tangan mereka yang memberikan undi-undi itu juga, percakapan-percakapan dan perbuatan-perbuatan mereka selalunya seolah-olah diam, tetapi di sisi Allah SWT bekerjasama dan bertolong bantu dalam kebajikan dan iman. Tidakkah Allah itu sahajalah sebaik-baik Penilai dan Penentu?
Akhir kalam, insaflah akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita dan senantiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri kita! Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.
Allahu Wa Rasuluhu A'lam.