Topic: Tazkirah: Bismillah Pada Surah Al-Fatihah (Read 5639 times)

0 Members and 1 Guest are viewing this topic.

Assalamu'alaikum Wrt. Wbt.

Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya walau sedikit pun keraguan atau kesesatan kecuali mereka yang cuba menuntut ilmunya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.


Para pembaca yang budiman,

Pada penulisan yang lepas saya ada menyebut satu bahagian daripada ayat pertama surah Al-Fatihah iaitu Bismillah atau lebih tepat lagi huruf Ba yang dibaris bawahkan. Terasa terpanggil pula saya menerangkan lebih lanjut mengenainya kerana saya percaya ramai juga yang tidak mengetahui Bahasa Arab. Justeru, apabila saya menulis, bahawa baris pada huruf ba dalam bismillah yang dibaca pada hampir setiap permulaan itu berbaris bawah mengisyaratkan kepada kewajipan merendahkan diri kepada Empunya nama zat yang Maha Agung, berkemungkinan ada yang kurang jelas.

Sebelum saya pergi jauh sedikit, teringat saya kisah seorang Ulamak yang menyembuhkan pesakit yang tidak diketahui sakitnya dengan keyakinan dan i'tiqad mengenai huruf Ba ini. Benar atau tidak kisah ini saya tidak tahu tetapi sekadar mengambik i'tibar daripadanya sahaja. Ringkas kisahnya, pesakit ini tidak percaya kepada Islam tetapi mengadu menghidap penyakit kronik yang tidak diketahui ubatnya. Kemudian diberitahu kepadanya bahawa ada seorang Ulamak Islam yang pandai mengubat dengan berpandukan kaedah perubatan para Nabi (Tibbun Nabawi) dengan berteraskan bacaan doa dan ayat-ayat suci Al-Quran.

Lalu pesakit ini pergilah berjumpa dengan Ulamak tadi lantas menceritakan masalah sakitnya. Dia menegaskan dia langsung tidak percaya kepada Islam apatah lagi kaedah perubatannya dan dia yakin dan percaya bahawa adalah mustahil sakit manusia yang bersifat lahiriah disembuhkan dengan kaedah batiniah atau rohaniah menggunakan kaedah bacaan doa-doa dan ayat-ayat suci Al-Quran.

Setelah mendengar aduan pesakit tersebut dan pendiriannya, Ulamak tersebut berlapang dada dan menyerahkan urusan penyembuhan kepada Allah SWT yang Maha Kuasa. Beliau terus membacakan doa-doa dan ayat-ayat suci Al-Quran, kemudian melafazkan penyerahan kepada Allah dengan kaedah yang lebih kurang berikut, bahawa sabda Nabi Muhammad SAW sesungguhnya tiada penyakit yang tiada ubatnya melainkan tua dan mati, dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah penyembuh dan pemberi petunjuk, dan tiadalah Al-Quran itu melainkan dimulakan dengan Al-Fatihah, dan tiadalah Al-Fatihah itu melainkan dimulakan dengan Bismillah, dan tiadalah Bismillah itu melainkan dimulakan dengan huruf Ba, dan tiadalah Ba itu melainkan adanya satu titik di bawah rumahnya, Ya Allah dengan berkat aku meletakkan satu titik jari pada ubun pesakit ini, maka sembuhkanlah dia.

Alhamdulillah, berakhir kisahnya, bahawa dengan izin Allah SWT, pesakit itu sembuh daripada penyakitnya dan lantas beriman dan memeluk agama Islam. Begitulah kisahnya titik pada huruf Ba Bismillah dalam surah Al-Fatihah atau Ummul Kitab pada Al-Quran. Allahu dan RasulNya jugalah yang mengetahui kebenaran kisah ini.


Para pembaca yang dikasihi,

Berbalik kita kepada perbincangan asal kita mengenai huruf Ba tadi. Huruf Ba adalah huruf yang mempunyai rumahnya yang tersendiri. Dalam kaedah bahasa Arab (Al-Qawaid Lillughatil Arabiyyah) huruf Ba ini adalah huruf jar yakni huruf yang menjadikan setiap huruf yang bersambung selepasnya majrur atau berbaris bawah. Uniknya walaupun umumnya huruf Ba ini boleh berbaris atas, bawah, depan atau mati, dalam pelbagai kedudukan dan tempat dalam aturcara huruf dalam kalimah atau perkataan dalam bahasa Arab, huruf ba ini sendiri, kerana sifat semula jadinya sebagai huruf jar, adalah tetap dalam keadaan majrur atau berbaris bawah dalam kaedah bahasa Arab.

Sepanjang kajian saya yang lemah ini, tidak ada satu pun kedudukan huruf Ba sebagai huruf jar mempunyai cara lain pembacaannya pada dirinya sendiri melainkan di baca dengan majrur atau berbaris bawah. Dalam erti kata lain ia wajib berbaris bawah dan kekal dalam bentuk berbaris bawah apabila ia digunakan sebagai huruf jar menurut kaedah dan pemakaiannya dalam bahasa Arab.

Perhatikan persamaannya dengan sifat merendah diri. Sifat merendah diri ini ialah meletakkan diri kita penuh kekurangan, hina dina, kerdil, lemah, jahil lagi berdosa ketika berhadapan Allah SWT. Dengan perasaan inilah kita mahu memulakan setiap amalan soleh atau pekerjaan baik kita kerana kita mahukan Allah SWT menerimanya. Baik ketika kita mahu membaca doa, membaca Al-Quran, makan dan minum, bergerak dan berhenti hatta hidup dan mati, kita mahu senantiasa dalam keadaan merendah diri kepada Allah SWT kerana hakikatnya kita sebenarnya senantiasa berhadapan denganNya dan dalam pemerhatianNya baik kita sedar atau tidak sedar.

Sememangnya kita wajib senantiasa, kekal, selalu dalam keadaan merendah diri. Apa tidaknya, bukankah sudah diwajibkan ke atas kita menjadikan hidup dan mati keseluruhannya ibadah kepada Allah SWT seperti firmanNya  dalam surah Az-Zariyat ayat 56: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beramal ibadah mengabdikan diri kepada-Ku."? Bahkan lebih daripada itu, ingatlah mafhum firman Allah dalam surah Al-An'am ayat 162-163 yang selalu kita baca dalam doa iftitah dalam solat kita: "Sesungguhnya solatku dan ibadat (pengorbanan)ku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian itulah aku telah diperintahkan (melaksanakannya)..."

Lantas seharusnya kita sedar dan insaf bahawa sekiranya kita mahu mematuhi perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya dan hendak menjadikan solat dan ibadat (pengorbanan) serta hidup dan mati kita hanya untuk Allah SWT apakah ada ruang lagi untuk kita merasakan diri mulia, besar, gagah, bijaksana bahkan seolah-olah ma'sum seumpama para Nabi? Sudah tentunya tidak kerana kita seharusnya kembali merendahkan diri sebagai mana difirmankan Allah SWT dalam wahyu pertama lagi: "Bacalah (mulakanlah setiap sesuatu) dengan nama tuhan (bismillah)..." (Surah Al-'Alaq:1) yakni dengan merendahkan diri dengan menyebut nama Allah tuhan yang menjadikan kita daripada segumpal darah yang hina.


Para pembaca yang dihormati,

Hendaknya kita semua sedar dan insaf bahawa dalam Al-Quran itu dijadikan dalam bahasa Arab kerana mutu sastera yang tinggi dan gaya bahasa yang unik. Bahasa Arab itu sudah menjadi bahasa kita semenjak azali lagi yakni ketika kita berada di alam ruh daripada syurga lagi. Justeru, pengkaji sejarah bahasa sebahagiannya sendiri telah mengemukakan banyak fakta dan bukti bahawa bahasa Arab itu adalah bahasa yang tertua sekali di dunia yakni semenjak turunnya Nabi Adam AS dan isterinya Hawa daripada syurga ke dunia ini.

Bahkan dengan izin Allah, bahasa Arab ini adalah sungguh hebat dan menakjubkan sehingga ia dapat menulis informasi yang hebat dan mendalam dalam huruf, perkataan dan ayat yang pendek atau singkat. Bahkan Al-Quran - mukjizat maknawi lagi terbesar, teks-teks hadith Nabi SAW dan kitab-kitab Ulamak Muktabar adalah dalam bahasa Arab yang dituntut penguasaannya agar kita semua dapat menjalani hidup dengan panduan dan petunjuk Allah SWT yang terkandung di dalamnya. Dengan hanya enam ribu lebih ayat, ia berupaya menjadi petunjuk sepanjang zaman dan menjadi penawar serta rahmat buat penghuni sekelian alam ciptaan Allah SWT.

Hendaknya, isyarat sekecil huruf Ba daripada huruf jar yang bersifat majrur atau berbaris bawah yang mempunyai satu rumah dengan satu titik yang begitu tidak terpandang pada mata kasar sekalipun seharusnya menjadi tanda buat orang-orang yang berakal lagi ingat kepada Allah SWT.  Justeru, sedarilah setiap kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita, bermuhasabahlah dan berusahalah memperbaiki diri kita! Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 152: "Maka berzikirlah kamu mengingatiKu (dengan mematuhi segala ketentuan hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)."

Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.

Allahu Wa Rasuluhu A'lam.